Tuesday, 28 June 2016

30 Tips Pengguna Bijak !

Bismillahirrahmannirrahim

Hai semua ! Untuk entry kali ini, saya akan menyenaraikan 30 tips yang perlu kita amalkan supaya kita dapat menjadi pengguna yang bijak! Selamat membaca dan jangan lupa amalkan, okay ?


1. Jangan mudah terpengaruh dengan IKLAN dengan maklumat yang keliru serta yang selalu mengeksploitasi kaum wanita yang dijadikan sebagai model.
2. Elakan penggunaan kad kedit kerana anda akan cenderung untuk berbelanja lebih dan bersikap boros, bawalah wang tunai yang secukupnya ketika membeli.
3. Beli barangan secara pukal lebih murah berbanding membeli barangan dalam kuantiti yang sedikit.
4. Buatlah belanjawan sebelum membeli belah.
5. Bandingkan yang mana satu keperluan ataupun kehendak, keperluan harus didahulukan berbanding kehendak.
6. Berjimat cermat amalan mulia, bertabunglah walaupun sesen kerana sikit-sikit lama-lama jadi bukit!
7. Semasa membeli-belah di pasaraya, pilihlah raga/bakul berbanding troli untuk mengisi barang, kerana hal ini akan membantu anda untuk bersederhana ketika membeli-belah!
8. Lihatlah katalog barangan sebelum membeli belah, belilah barangan yang ada promosi, ini akan membantu anda untuk berjimat!
9. Gores dan menang, jangan terpedaya. Pengguna yang bijak perlu bertindak secara rasional.
10. Masak di rumah lebih jimat berbanding makan di luar.
11. Gunakan beg kitar semula semasa membeli belah, penggunaan beg plastik akan mencemarkan alam sekitar!
12. Pastikan logo halal pada barangan adalah yang dikeluarkan oleh JAKIM. Jangan mudah tertipu dengan logo halal palsu.
13. Belilah barangan keluaran Industri Kecil-kecilan ataupun Industri Desa. Sokong barangan buatan Malaysia.
14. Semak resit pembelian dan jumlah barangan yang dibeli selepas selesai membuat bayaran.
15. Belilah makanan yang mengandungi nutrisi yang tinggi, elakan membeli makanan ringan.
16. Pilih buah-buahan tempatan, terdapat pelbagai pilihan, yang bermusim dan juga tidak.
17. Sentiasa buat bandingan harga barangan dengan kualiti serta kuantitinya, buat pilihan yang bijak, kadang kala yang tinggu kuantitinya tak semestinya tinngi kualitinya.
18. Belilah barangan elektrik dengan kelulusan SIRIM.
19. Jangan mudah terpedaya dengan barangan beserta promosi hadiah, kadang-kala, harga barangan tanpa hadiah lebih murah dan berbaloi-baloi!
20. Untuk pengguna telekomunikasi, pilihlah pembekal plan yang berpatutan dan bersesuaian dengan tahap penggunaan anda. Buatlah pilihan bijak!
21. Periksa keadan barang sebelum membelinya, lihat keadaan fizikalnya dalam keadaan baik atau tidak, periksa kuantitinya supaya cukup seperti maklumat dalam label.
22. Gunalah kenderaan awam untuk ke kampus atau ke tempat kerja, lebih menjimatkan kos, mengurangkan kesesakan jalan raya serta mesra alam.
23. Berkongsi kereta ‘car pooling’ ke kampus atau ke tempat kerja lebih menjimatkan kos, mengurangkan kesesakan jalan raya serta mengurangkan pencemaran alam sekitar.
24. Dapatkan maklumat berkenaan isu-isu kepenggunaan di laman sesawang ataupun melalui bulletin ataupun risalah kepenggunaan.
25. Jika membeli-belas di atas talian ’online’ pastikan kesahihan pembekal dan berhati-hati apabila melakukan transaksi wang.
26. Jika melakukan transaksi wang atas talian ‘online’ pastikan kata laluan anda dilindungi serta jejak anda ‘cache’ dipadam untuk mengelak system digodam.
27. Jangan gunakan pautan ‘link’ untuk ke laman web bank untuk urusan ‘online banking’. Sebaik-baiknya pergi terus ke laman utama bank pilihan anda.
28. Pastikan lebel harga tertera pada barangan, jika tiada laporkan pada pihak berkuasa, anda berhak untuk mendapat maklumat yang sewajarnya!
29. Jualan murah! Jangan mudah tertipu, bandingkan harga sebelum dan selepas dahulu sebelum membeli.
30. Dapatkan bantuan jurujual jika perlukan maklumat tambahan mengenai barangan yang hendak dibeli. Ingat, anda punyai hak untuk membuat pilihan, jangan biarkan penjual memaksa atau membuat pilihan untuk anda.

Terima kasih :)

KANAK KANAK 2 TAHUN MAUT DIDERA IBU DAN TEMAN LELAKINYA

Bismillahirrahmannirrahim

Baru-baru ini negara jiran kita iaitu Singapura telah kecoh mengenai kematian seorang kanak-kanak berusia 2 tahun akibat didera oleh ibu dan teman lelakinya. Berikut adalah kronologi kematian adik Mohamad Daniel Mohamad Nasser yang saya peroleh di sini.

SINGAPURA: Setiap hari selama lima minggu, Mohamad Daniel Mohamad Nasser, 2 tahun, menderita dek didera ibunya sendiri dan teman lelaki wanita itu.
Setiap hari juga, pasangan itu menendang, menampar dan memijak Daniel, dan memaksa budak itu berdiri selama berjam-jam lamanya sambil meletakkan kedua-dua tangannya di atas kepala - dengan hanya memakai lampin.
Mereka juga memaksa anak kecil berusia 2 tahun itu makan cili kering.
Perbuatan tidak berhati perut itu terbongkar juga apabila kanak-kanak itu akhirnya meninggal dunia akibat kecederaan teruk selepas lima minggu didera, pada 23 November 2015.
Ibu mangsa, Zaidah, 41 tahun, dan teman lelakinya, Zaini Jamari, 46 tahun, mengaku bersalah hari ini (23 Jun) - masing-masing atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan teruk hingga menyebabkan kematian, dan tiga tuduhan penderaan kanak-kanak.
Pasangan itu bersama bayi mereka yang berusia 1 tahun dan Daniel, iaitu anak lelaki Zaidah hasil perkongsian hidup sebelumnya dengan lelaki lain, tinggal bersama di flat satu bilik di Telok Blangah. Dua lagi penghuni lain turut menyaksikan penderaan itu.
Lagi 26 dan 18 tuduhan penderaan kanak-kanak ke atas pasangan tersebut, yang kedua-duanya pekerja pembersihan, akan diambil pertimbangan apabila mahkamah menjatuhkan hukuman pada 15 Julai ini.
PENDERAAN YANG "KEJAM DAN TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN"
Di mahkamah hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Claire Poh menyifatkan "penderaan fizikal, mental dan emosi" terhadap kanak-kanak dua tahun yang "tidak boleh mempertahankan diri sendiri" itu sebagai "kejam dan tidak berperikemanusiaan."
Mahkamah diberitahu bahawa dalam satu insiden pada 18 November 2015, budak itu tertidur ketika berdiri dengan tangannya di atas kepala. Melihat keadaannya itu, ibunya mula menampar muka dan dada budak itu untuk mengejutkannya dari tidur.
Rakannya yang tinggal dalam flat yang sama melihat darah mengalir dari mulut budak itu apabila ibunya menderanya.
Budak lelaki itu terjatuh ke lantai, dan Zaidah memintal kedua-dua tangan anaknya itu dan memijaknya.
Dia kemudian mengangkat budak itu ke tandas dan menukar lampinnya, sebelum memaksanya terus berdiri dengan tangannya diletakkan di atas kepala, kata DPP Poh di mahkamah.
PIJAK DADA ANAK & DITAMPAR
Pada 22 November, iaitu sehari sebelum kematiannya, Daniel didera selama berjam-jam lamanya.
Sekitar 10.00 pagi, apabila budak itu enggan makan sarapan, Zaidah menamparnya. Dia memberikan mangkuk sarapan itu kepada Zaini, teman lelakinya, yang cuba memberi budak itu makan.
Apabila mangsa tetap enggan makan, kedua-dua Zaidah dan Zaini menamparnya beberapa kali dan wanita itu juga memukul bahagian belakang tubuh budak itu, hingga mangsa terjatuh ke lantai. Apabila Daniel tidak bangun dari lantai, Zaidah memijak dada anaknya itu sebelum menarik lengannya.
Budak itu makan dua atau tiga sudu makanan, namun enggan makan lebih banyak daripada itu. Dia kemudian disuruh berdiri di satu sudut.
Sekitar 7.00 malam pada hari itu, kanak-kanak itu sandar pada katil kerana letih setelah berdiri sepanjang hari. Apabila pasangan itu melihat keadaan budak itu, mereka menampar Daniel, yang baring di atas lantai dan menutup matanya.
Zaini membawa budak itu ke dapur dan memaksanya makan dua sudu cili kering, sebelum memaksanya terus berdiri di ruang tamu.
PERUT DANIEL DIPIJAK, KEPALA TERHENTAK KE LANTAI
Pada sekitar 8.45 malam kemudian, Daniel menjadi lemah dan tidak mampu terus berdiri. Ibunya mencubit tubuhnya dan pipinya dan menamparnya beberapa kali.
Mahkamah diberitahu Zaidah menyangka budak itu berpura-pura lemah dan mengadu kepada teman lelakinya.
Zaini menampar budak itu, memijak perutnya hingga Daniel terjatuh ke lantai dan terhentak kepalanya. Zaini kemudian memaksa budak itu makan cili buat kali kedua hari itu.
Keesokan harinya, pasangan itu tidak mampu mengejutkan budak itu, dan dua rakan mereka yang tinggal bersama mereka menelefon ambulans. Daniel disahkan meninggal dunia pada 9.11 pagi.
PASANGAN PULANG TONTON TV SETELAH SOAL SIASAT
Apabila ditanya para paramedik dan polis mengapa tubuh mangsa berlebam-lebam, pasangan itu berbohong dan berkata budak itu biasa mencubit dirinya sendiri, dan jatuh tersungkur di tandas.
DPP Poh berkata pasangan itu tidak menyesali tindakan mereka itu dan menyeru mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sekurang-kurangnya sembilan tahun dan 12 kali sebatan untuk Zaini serta hukuman penjara lebih berat untuk Zaidah.
Pendakwa raya itu berhujah bahawa pasangan itu lebih mementingkan untuk melindungi diri sendiri dan langsung tidak mengendahkan tragedi yang berlaku itu. Bahkan, kata DPP Poh, pasangan itu pulang ke rumah dan menonton televisyen setelah disoal siasat polis tentang kematian budak itu.
DANIEL ALAMI LEBIH 40 KECEDERAAN
Pendakwa raya mengambil masa beberapa minit untuk membacakan di mahkamah senarai lebih 40 kecederaan yang didapati pada tubuh mangsa semasa bedah siasat. Mangsa juga didapati mengalami keretakan tulang rusuk dan pendarahan dalam otak.
Hakim Daerah Bala Reddy mengarahkan pegawai mahkamah menunjukkan kepada pasangan itu, yang berdiri bersebelahan satu sama lain di kandang tertuduh, gambar-gambar kecederaan yang mereka lakukan sendiri kepada Daniel, yang dipetik setelah budak itu meninggal dunia.
Namun, pasangan itu tidak menunjukkan sebarang reaksi, kata hakim, yang menunjukkan mereka tidak menyesali perbuatan mereka itu. Apabila ditanya sama ada mereka mahu berkata apa-apa, kedua-dua mereka mengambil kesempatan itu untuk merayu dijatuhi hukuman lebih ringan.
Atas kesalahan menyebabkan kecederaan teruk hingga menyebabkan kematian, pasangan itu boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda atau disebat.
Atas kesalahan penderaan kanak-kanak, mereka boleh dipenjara sehingga empat tahun dan/atau didenda sehingga S$4,000 bagi setiap tuduhan. 
Kesimpulan: Bagi saya hukuman yang dikenakan terhadap pesalah amatlah tidak sesuai dengan apa yang telah dilakukan mereka. Seharusnya pihak mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal dengan apa yang telah mereka lakukan. Hal ini bagi memastikan isu seperti ini tidak berlaku lagi. Akhir sekali, masyarakat perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling supaya kejadian seperti mendera anak ini dapat dikesan. Kesedaran tentang hak asasi kanak-kanak juga perlu diberikan kepada umum agak mereka sedar bahawa meskipun mereka mempunyai anak dan boleh memukul untuk tujuan pengajaran namun jika ianya boleh mengakibatkan kesan yang teruk, mereka yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum kerana terdapat hak asasi kanak-kanak dan undang-undang berkaitan isu penderaan kanak-kanak.
Terima kasih :)

Friday, 24 June 2016

Keluar atau Kekal ? 5 Perkara Perlu Diketahui Tentang BREXIT.

Bismillahirrahmannirrahim

Alhamdulillah, kita masih diberikan kesihatan untuk meneruskan kehidupan ini dan berpuasa pada bulan Ramadhan yang penuh berkat. Untuk entry ini, saya akan kupas tentang kepentingan isu yang sedang menjadi bualan ramai iaitu BREXIT (BRITAIN EXIT). 

1. Apa itu Referendum UK?

Referendum UK adalah pungutan suara yang dicadangkan Perdana Menteri UK, David Cameron selepas pilihan raya pada 2015 bagi mengutip undi rakyat United Kingdom (UK) untuk menentukan sama ada UK kekal atau keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

Selain menentukan nasib UK dalam EU, ia juga bakal mencorak penglibatan UK dalam beberapa isu utama termasuk imigresen,kerjasama ekonomi dan konsep pergerakan bebas EU.

Pungutan suara serupa pernah dijalankan pada 1975 bagi menentukan keahlian UK dalam Komuniti Ekonomi Eropah (EEC), badan kerjasama awal dalam kalangan negara Eropah yang kemudian dibentuk menjadi EU pada 1993.

67 peratus rakyat Britain mengundi untuk Britain kekal dalam EEC pada 1975.

Referendum untuk menentukan keahlian Britain dalam EU diadakan pada 23 Jun 2016.

2. Siapa yang boleh mengundi ?

Semua rakyat UK layak mengundi, ini bermakna Britain, Scotland, Ireland dan Wales.
Selain itu, rakyat UK yang menetap di luar negara kurang 15 tahun turut diberi hak untuk mengundi. Hak mengundi turut diberi kepada semua warga Komanwel yang menetap di UK. Ini antara lain termasuk rakyat dari negara seperti Malaysia, Australia, Kanada dan India. Hanya mereka berumur 18 tahun ke atas diberi hak mengundi.

3. Apa sentimen rakyat Britain terhadap referendum ini?

Rata-rata rakyat Britain didapati masih berbelah bahagi, sama ada untuk mengundi kekal dalam EU atau sebaliknya.

Tinjauan terbaru oleh akhbar Britain, Financial Times mendapati peratusan rakyat Britain yang ingin kekal berbanding mereka yang ingin keluar EU masing-masing berada pada 44 peratus, sementara baki 12 peratus berada di atas pagar.

Bagaimanapun pakar berpendapat, insiden pembunuhan Jo Cox, wakil Parti Buruh dan penyokong kempen Britain kekal di EU pada 16 Jun 2016 didapati meningkatkan sentimen negatif terhadap kempen keluar EU.

Ini bagaimanapun masih belum dicerminkan di dalam apa-apa data rasmi yang masih menunjukkan taburan sama rata dalam kalangan rakyat Britain.

4. Siapa yang ada dalam kempen 'Remain' dan 'Leave' ?

Kempen 'Remain'
Diketuai Perdana Menteri David Cameron, antara isu yang dibawa kempen 'Remain' adalah ekonomi. Ia mengambarkan kesan buruk sekiranya hubungan antara blok dagangan UK dan EU terputus dan perlu dirunding semula.

Malah, kempen 'Remain' menyifatkan pemisahan akan menghapuskan kuasa UK terhadap dunia melalui EU yang selama ini memainkan peranan besar dalam dagangan dunia. Selain itu, dilemanya adalah bagaimana sistem pekerjaan rentas sempadan akan dirombak susulan pembatalan keahlian UK dalam EU.

Ini bakal menyaksikan pekerja EU di UK terpaksa memohon visa bagi kemasukan ke UK sekali gus menyukarkan majikan. EU membeli 50 peratus eksport UK dengan lebih 300,000 syarikat Britain beroperasi di EU. Jika ia keluar dari EU, ini bermakna UK perlu berunding semula terma dagangan bebas dengan negara lain kerana sebelum ini rundingan dilakukan atas kapasiti EU.

Dari segi pekerjaan juga, sejumlah 3.5juta pekerjaan di Britain berkaitan dengan keahlian Britain dalam pasaran tunggal EU.

Kempen 'Leave'
Diketuai bekas Datuk Bandar London, Boris Johnson, sentimen utama yang dimainkan adalah krisis pelarian dan imigresen. 

Kempen pemisahan menyifatkan EU satu kesatuan gagal dengan mengambil contoh Greece yang masih terperangkap dalam kancah hutang. Selain itu, pergerakan bebas penduduk EU ke UK dan menikmati manfaat sama seperti rakyat UK turut dipertikai.

Mereka mendakwa Britain yang terkenal dengan slogan 'Great Britain' kini hanya tinggal 'Britain'. Justeru mereka mahu kuasa menentukan hala tuju negara terutama dalam isu imigresen dan ekonomi ditentukan sendiri oleh Britain tanpa campur tangan EU.

Kempen ini mendakwa Britain terpaksa membayar yuran keahlian 17.4 bilion pound setahun, di mana mereka berpendapat lebih baik dilaburkan untuk kebajikan penduduk UK.

Isu imigresen yang ditimbulkan termasuk bagaimana kawalan imigresen EU ditentukan oleh EU menyaksikan pendudul rantau itu lebih mudah datang ke UK berbanding penduduk negara Komanwel.

5. Apa kesan kepada Malaysia ?

Kesannya adalah minimum terhadap dagangan Malaysia memandangkan UK bukan 10 negara teratas dagangan Malaysia. Namun beberapa kesan yang disifatkan baik akan dinikmati sekiranya UK keluar EU.

Antaranya, Ketua Ekonomi IQI Shan Saeed meramalkan nilai Pound akan jatuh sebaris nilai Dolar. Ini bermakna, kos ke UK lebih murah. 

Ketua Ekonomi Alliance Bank Monakaran Mottain berkata sekiranya Brexit berlaku, ringgit dan mata wang utama lain akan kembali mengukuh tetapi jika sebaliknya, ringgit mungkin menyusut dan boleh mencecah RM6 berbanding Pound.

Bukan itu sahaja, perbezaan nilai Pound ini amat kritikal kerana jumlah pelajar Malaysia yang besar di UK.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Isnin menyatakan tidak bimbang mengenai ketidaktentuan berkaitan pungutan suara Britain keluar EU.

Ini kerana pendedahan rendah dana itu kepada Pound Sterling meskipun merupakan antara pemegang kepentingan dalam projek Battersea di London.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, hanya 1 peratus dari 26 peratus asset global KWSP terdedah kepada Pound.

Kesimpulannya, bagi pandangan saya apa-apa pun keputusan BREXIT nanti diharapkan ianya dapat memberikan keputusan yang baik bagi kedua belah pihak dan tiada unsur keganasan yang akan berlaku.


Sumber maklumat : Astro Awani

Terima kasih :)

Saturday, 28 May 2016

Aktivis Pakistan Bantah Cadangan Benarkan Suami Pukul Isteri

Bismillahhirahmannirahim

ISLAMABAD : Media dan aktivis Pakistan mengecam cadangan sebuah pertubuhan agama yang membenarkan lelaki memukul isteri, dalam draf undang-undang perlindungan wanita, semalam.

Majlis Ideologi Islam (CII) mengeluarkan draf undang-undang pada Khamis lalu, sebagai tindak balas mereka terhadap undang-undang progresif yang memberi hak dan perlindungan yang lebih luas di wilayah Punjab.

Media tempatan memetik kandungan draf terbabit sebagai berkata: "Suami seharusnya diberi kebenaran untuk memukul isteri dengan perlahan jika melanggar arahan dan menolak untuk berpakaian seperti yang diinginkan suami; menolak ajakan mengadakan hubungan suami isteri tanpa sebarang alasan keagamaan dan tidak mandi hadas."

Cadangan itu turut mengundang ejekan daripada media dalam talian yang hampir setiap hari mengeluarkan artikel mempersendakan cadangan terbabit.

Akhbar Inggeris terkemuka dan berpengaruh negara itu, Dawn juga setiap hari menerbitkan artikel menyindir cadangan itu dengan menyenaraikan bahan lain yang bole dipukul selain daripada isteri - termasuk telur, bahagian bawah botol kicap dan Michael Jackson malah memilih untuk 'Beat It'.

Penerbitan artikel sedemikian contoh yang jarang dilakukan media di negara terbabit untuk mengecam golongan yang kononnya bercakap bagi pihak agama di negara yang konservatif Islam itu. - AFP



Pada pandangan saya, isu memukul isteri seharusnya diteliti dengan lebih mendalam. Hal ini kerana, jika tidak ada penanda aras si suami boleh sesuka hati untuk memukul isteri tanpa sebab yang munasabah. Undang-undang tersebut perlu berlandaskan hukum Islam sendiri jika negara itu mengamalkan ajaran Islam. Islam mengajar umatNya tentang kedamaian dan kebahagiaan, terdapat pelbagai panduan kearah keluarga bahagia. Jadi saya menyokong tindakan aktivis terbabit yang membantah cadangan benarkan suami pukul isteri kerana isteri juga manusia yang mempunyai hak yang sama dalam muka bumi ini.

Terima kasih :)

Monday, 18 April 2016

Piagam Bertulis Pertama di Dunia

Bismillahhirahmannirrahim

Alhamdulillah kita masih dapat bernafas dan menjalani kehidupan seperti biasa. Untuk entry kali ini, saya akan menerangkan mengenai piagam bertulis pertama di dunia ini iaitu Piagam Madinah. 





   Piagam Madinah merupakan piagam bertulis yang pertama di Dunia. Pada masa ketibaan Rasullah s.a.w di Madinah terdapat dua golongan penduduk terbesar, iaitu orang Arab dan Yahudi. Orang Arab Islam, terdiri dari suku kaum Aus dan Khzaraj digelar sebagai Ansar (Golongan Penolong) dan orang Arab. Quraisy yang berhijrah dari Makkah pula digelar Muhajirin (Golongan Pendatang). Orang-orang Yahudi di Madinah pula terbahagi kepada beberapa kumpulan. Antaranya ialah bani Qainuqa, Quraizah dan Nazir.

   Orang-orang Ansar dari suku kaum Aus dan Khazraj sentiasa berselisih faham sesama mereka sejak zaman berzaman lagi. Orang Muhajirin pula terlalu miskin kerana mereka dihalau dari kampung halaman mereka. Orang-prang Yahudi sentiasa bersikap permusuhan dan sentiasa menghasut dan mengkhianati Rasulullah s.a.w dan pengikutnya. Orang-orang Munafik perlu menjadi musuh dalam selimut. Di samping itu pula orang-orang Musyrikin Quraisy di Makkah sentiasa membuat pelbagai usaha untuk menghancurkan agama Islam dan orang-orang Islam.

   Untuk mententeramkan keadaan gawat di Madinah, Rasullah s.a.w membuat perjanjian dengan seluruh penduduk di Madinah dan menulis satu piagam negara Islam pertama yang disebut sebagai Sahifah al-Madinah.


Piagam Madinah

   Piagam Madinah berbeza dari tulisan-tulisan peraturan pemerintah sebelum ini, kerana perlembagaan ditulis oleh pemimpin iaitu Nabi Muhamad s.a.w untuk diterima pakai oleh rakyatnya, iaitu penduduk Madinah. Piagam ini merupakan satu undang-undang tertinggi di Madinah, selain itu Al-Quran, yang telah menjadi tatacara pemerinthan di negara kota itu. Ia berlainan dengan The Constitution of Athens yang hanya merupakan sejarah evolusi amalan perlembagaan di negara itu. Piagam Madinah tidak seperti dokumen Shuking oleh Confucious yang merupakan buku teks untuk kanak-kanak raja. Ia juga bukan seperti dokumen Artha Sastera yang dianggap sebagai peraturan pemerintahan pada zaman Chandra Gupta Mauriya, yang hanya menjadi buku teks pembelajaran untuk anak-anak raja waktu itu.

Beberapa aspek utama piagam Madinah ialah:

  • Pengakuan terhadap Rasullah s.a.w sebagai Ketua Negara Madinah yang wajib dipatuhi dan dihormati. Apa-apa masalah besar antara penduduk Islam dengan penduduk bukan Islam mestilah dirujuk kepada ketua negara untuk diselesaikan. Walaubagaimanpun, semua ketua kaum mempunyai hak untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri secara yang difikirkan berpatutan.
  • Semua penduduk Madinah hendaklah hidup sebagi satu ummah yang tidak terpengaruh dengan apa-apa elemen yang tidak baik dari luar.
  • Semua penduduk hendaklah bersatupadu, bekerjasama, dan bertanggungjawab mempertahankan negara dari apa-apa serangan musuh.
  • Wahyu sebagai sumber piagam termasuk tradisi.
  • Semua penduduk diberi kebebasan mengamalkan agama masing-masing dan tiada gangguan dan paksaan dalam hal keagamaan.
  • Keselamatan semua penduduk adalah terjamin selama mereka mematuhi perlembagaan tersebut.


Kepentingan Piagam Madinah

  • Penerimaan Rasullah s.a.w sebagai Ketua Negara Madinah telah menaikkan kedudukan baginda sebagi pemimpin di dalam sebuah negara yang mana penduduknya terdiri dari pelbagai bangsa. Baginda mempunyai kuasa untuk memutuskan apa-apa dasar negara dan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dari masa ke semasa.
  • Pengekalan struktur kekeluargaan masyarakat Madinah yang tidak bertentangan dengan Islam di samping pengubahsuaian sebahagian darinya mengikut hukum-hukum Islam. Ketua-ketua kaum tetap mempunyai autoriti terhadap kaumnya dan Rasullah s.a.w adalah sebagai Ketua Hakim yang akan memutuskan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan di luar bidang kuasa ketua-ketua kaum berkenaan.
  • Orang-orang Islam diwajibkan hidup bermasyarakat sesama mereka secara aman dan mereka hendaklah membantu saudara seagama dan ditegah membantu dan berpihak kepada musuh-musuh Islam.
  • Piagam Madinah telah menyatukan dan mendamaikan antara suku-suku bangsa Arab di Madinah yang sentiasa bertelagah sebelum ini.
  • Memberi kebebasan menjalankan kegiatan ekonomi kepada semua penduduk. Peraturan ini dibuat untuk mengelak pemboikotan ekonomi oleh orang-orang Yahudi ke atas umat Islam seperti yang dilakukan oleh kaum Quraisy Makkah sebelum hijrah Rasullah s.a.w ke Madinah.
  • Kebebasan dalam kegiatan perniagaan dan keadaan yang aman di Madinah telah menarik minat pedagang-pedagang luar untuk datang ke Madinah. Akhirnya Madinah telah menjadi pusat perdagangan penting di Semenanjung Tanah Arab. Dengan itu, umat Islam secara beransur-ansur telah menguasai ekonomi Madinah dan di kawasan persekitarannya.
  • Semua penduduk Madinah bertanggungjawab memelihara keamanan dan keselamatan negara.
  • Dengan peruntukan piagam ini, orang-orang Yahudi tidak lagi boleh membuat sebarang pakatan dengan orang Quraisy Makkah dan mereka diwajibkan mempertahankan negara dari ancaman luar bersama-sam dengan orang Islam.
  • Memberikan kebebasan beragama dan tidak boleh menganggu penganut-penganut agama lain.
  • Dengan kebebasan beragama ini, orang-orang Islam bebas mengamalkan ajaran Islam. Ini memberi peluang kepada orang-orang bukan Islam bergaul dengan orang-orang Islam dan memerhatikan akhlak dan personaliti orang-orang Islam dan juga ibadat mereka yang penuh dengan displin. Ini semua telah menarik minat orang-orang bukan Islam memeluk agama Islam.
  • Melalui piagam ini, orang-orang Yahudi secara tidak langsung mengiktiraf kewujudan Islam sebagai satu agama, Madinah sebagai negara Islam dan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Pesuruh Allah yang sebenar. Sebelum ini, ketiga-tiga perkara ini ditolak oleh orang-orang Yahudi.
  • Hak dan keselamatan setiap penduduk Madinah adalah terjamin. Mana-mana pihak yang cuba mengkhianati piagam akan diambil tindakan tegas dan dihukum seberat-beratnya tanpa mengira bangsa atau agama. Hukuman telah dikenakan kepada pengkhianat piagam, seperti apa yang dikenakan kepada ke aats Bani Qainuqa' yang berkomplot dengan orang Arab Quraaisy Mekkah dalam Perang Badar. Mereka dihalau, begitu juga dengan Bani Nadir, mereka dihalau kerana berkerjasama dengan orang Arab Quraisy dalam Perang Uhud dan membunuh kaum lelaki Bani Quraizah yang mengisytiharkan perang dan bekerjasama dengan Quraisy Mekkah dalam Perang Khandak.


   Kesimpulannya, Piagam Madinah bersifat perkembangan sebenar berbanding dengan tatacara pemerintahan kerajaan purba Greek, China dan India. Piagam Madinah merupakan piagam bertulis pertama di dunia. Dengan tergubalnya Piagam Madinah, lahirnya sebuah negara Islam pertama di dunia di Madinah, yang menjadi induk kepada Empayar Islam selepasnya, yang memerintah dunia selama tujuh abad. Piagam Madinah boleh dijadikan asas kepada mana-mana piagam Islam yang baru, terutama sekali kepada sebuah negara Islam yang mempunyai penduduk berbilang bangsa.


Terima kasih :)

SUHAKAM

Bismillahirrahmannirrahim

Hai ! Alhamdulillah, kita semua masih dipanjangkan umur untuk sama-sama meneruskan kehidupan ini. Untuk entry kali ini, saya akan fokus kepada salah satu badan kerajaan yang menjaga kebajikan ataupun hak asasi manusia di Malaysia iaitu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia atau lebih dikenali sebagai SUHAKAM. Jadi, jom kita sama-sama memahami lebih mendalam peranan SUHAKAM :)




   SUHAKAM ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597 Seksyen 2. Akta ini mentakrif "hak asasi manusia" sebagai merujuk kepada "kebebasan asas sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan".

Fungsi SUHAKAM sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 4(1) adalah:

  1. Untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubung hak asasi manusia.
  2. Untuk menasihati dan membantu kerajaan dalam merumuskan perundangan dan arahan dan tatacara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil.
  3. Untuk mengesyorkan kepada Kerajaan berkenaan dengan penandatanganan atau penyertaan dalam perjanjian dan suratcara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia.
  4. Untuk menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia.
   Selain daripada itu, Seksyen 4(4) Akta berkenaan menegaskan bahawa hendaklah diberi perhatian berat kepada Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) selagi pengisytiharan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna, apa jua hak dan kebebasan yang tidak disebut dalam Bahagian II tetapi ada dirujuk dalam UDHR mesti dipertimbangkan dengan syarat tidak ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

   Fungsi menyiasat aduan berhubung dengan pelanggaran hak asasi manusia tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh Seksyen 12 Akta tersebut. Seksyen 12 memberi SUHAKAM kuasa memulakan sendiri penyiasatan terhadap tuduhan wujudnya pelanggaran hak asasi manusia, di samping bertindak berasaskan aduan yang dibuat kepadanya. Bagaimanapun, SUHAKAM tidak boleh menyiasat aduan yang menjadi perkara prosiding yang sedang menunggu keputusan mana-mana mahkamah undang-undang atau yang sudah diputuskan dengan muktamad oleh mahkamah. Penyiasatan mesti diberhentikan sekiranya perkara yang sedang disiasat dibawa ke mahkamah. 


Kuasa

   Akta penubuhan telah memberi SUHAKAM kuasa yang membolehkannya menjalankan fungsinya dengan efektif. Di bawah Seksyen 4(2) dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597, SUHAKAM diberikan kuasa:

  1. Untuk memupuk kesedaran mengenai hak asasi manusia dan untuk mengaku janji mengadakan penyelidikan dengan mengendalikan program, seminar dan bengkel dan untuk menyebarkan dan menyedarkan hasil penyelidikan itu.
  2. Untuk menasihati Kerajaan dan/atau pihak berkuasa yang berkaitan mengenai aduan terhadap pihak berkuasa dan mengesyorkan kepada Kerajaan dan/atau pihak berkuasa itu langkah-langkah sesuai yang hendaklah diambil.
  3. Untuk mengkaji dan menentu sahkan apa-apa pelanggaran hak asasi manusia mengikut peruntukan Akta ini.
  4. Untuk melawat tempat tahanan mengikut tatacara yang ditetapkan oleh undang-undang yang berhubungan dengan tempat tahanan itu dan untuk membuat syor yang perlu.
  5. Untuk mengeluarkan pernyataan awam mengenai hak asasi manusia apabila perlu.
  6. Untuk mengaku janji apa-apa aktiviti sesuai lain yang perlu mengikut undang-undang bertulis yang berkuatkuasa, jika ada, berhubung dengan aktiviti itu.

Jadi, bagaimana? Harap entry mengenai SUHAKAM ini membantu menambahkan ilmu pengetahuan kita terhadap badan kerajaan yang melindungi hak asasi manusia di Malaysia. Untuk lebih mengetahui lebih lanjut mengenai SUHAKAM, bolehlah layari laman sesawang SUHAKAM.


Terima kasih :)


Monday, 14 March 2016

Sekularisme

Bismillahirrahmannirrahim

Alhamdulillah, kita semua masih dipanjangkan umur untuk sama-sama berkongsi ilmu selagi mana yang mampu. Untuk entry kali ini pula, saya akan mengupas tentang isu sekularisme. Kupasan saya lebih kepada pandangan Islam namun masih sesuai untuk dibaca kepada umum :)





   Sekularisme atau fahaman sekular ialah mengendalikan urusan kehidupan di dunia secara terpisah daripada agama, ia tidak ada hubungan dengan Tuhan atau tidak ada hubungkait dengan Akhirat. Terpisah ini tidak kira sama ada di bidang ekonomi, politik, pendidikan, pentadbiran, kebudayaan, perhubungan dan lain-lain lagi. Dengan kata lain, fahaman sekular itu ialah fahaman keduniaan semata-mata dan tiada kaitan dengan Akhirat. Maksudnya di sini, orang yang mempunyai fahaman sekular, hidup di dunia hanya habis di dunia. Kalau untung hanya berlaku di dunia begitu juga sebaliknya. Sama ada senang atau susah, semuanya berlaku di dunia, tidakkan dipersoalkan lagi di Akhirat. Dosa dan pahala tidak diambil kira kerana kehidupan itu hanya di dunia semata-mata. Di dalam fahaman sekular, syariat tidak diambil kira. Syariat tidak ada tempat dalam kehidupan. Tuhan tidak campur tangan dalam kehidupan manusia. 

   Oleh yang demikian, manusia boleh buat apa sahaja. Yang penting mendapat keuntungan. Yang diperlukan adalah pembangunan dan kemajuan. Yang mustahak mendapatkan kemenangan dan kejayaan walau apa cara sekalipun. Walau terpaksa menghalalkan cara. Halal dan haram tidak difikirkan. Pantang larang tidak diambil kira. Mengikut fahaman sekular, dunia bukan jambatan untuk Akhirat atau bukan tanaman untuk Akhirat. Segala apa yang berlaku di dunia ini hanya habis di dunia semata-mata. Tidak timbul soal dosa dan pahala dalam fahaman sekular. Tidak ada kehidupan di Akhirat atau tidak ambil pusing kehidupan di Akhirat. Kalaupun percaya dengan hari Akhirat, ianya acuh tidak acuh. Seolah-olah Akhirat itu hendak dilupakan. Bahkan sesetengah orang tidak senang dengan kehidupan Akhirat. Sebut sahaja Ahirat, hati menjadi benci, mulut mencemik. 

   Setelah saya menghuraikan serta bahaskan erti fahaman sekular ini, maka kita boleh memahami bahawa mereka yang mempunyai fahaman sekular boleh dibahagi kepada beberapa golongan. Antaranya:

1. Golongan orang yang berfahaman sekular sejati (pure)

Golongan yang tidak percaya langsung wujudnya Tuhan dan kehidupan selepas mati iaitu Hari Akhirat. Agama dianggap candu kepada manusia. Ia adalah buatan manusia. Wujudnya alam ini adalah secara semulajadi. Golongan yang berpegang dengan fahaman ini adalah orang yang berfahaman komunis, atheis atau free thinker. 

2. Golongan orang yang berfahaman sekular tersesat.

Golongan orang kafir yang percaya dengan Tuhan, dengan hari Akhirat dan percaya dengan agama tetapi tidak kenal Tuhan. Keyakinannya dengan hari Akhirat tidak tepat. Agamanya tersesat. Kehidupan dunianya terpisah dari agama. Dalam urusan kehidupan dunianya, seolah-olah Tuhan tidak campur tangan.

3. Golongan orang Islam yang yakin dengan kewujudan Tuhan.

Golongan orang Islam yang yakin dengan wujudnya Tuhan dan mengenali Tuhan dengan lebih tepat serta percaya dengan hari Akhirat dengan betul. Namun Islamnya hanya di sudut ibadah. Persoalan kehidupan seperti ekonomi, politik, perjuangan dan lain-lain tidak boleh dicampur aduk dengan Islam kerana kejahilan. Syariat Islam tidak ada tempat di dalam kehidupan kecuali sudut ibadah sahaja. Selain ibadah, mereka boleh menerima apa sahaja pandagan ideologi atau akal fikiran.

4. Golongan sekular disebabkan kezaliman.

Sama seperti golongan di nombor 3 tetapi keyakinannya kepada Islam adalah lebih mendalam. Islam adalah agama seluruh kehidupan. Islama adalah agama ibadah, agama politik, agama pentadbiran, agama ekonomi, agama pendidikan tetapi mungkin kerana takut kepada golongan tertentu atau tidak sanggup menerima risiko yang berat kerana kepentingan peribadi atau keana malu dan takut dituduh kolot maka berlakulah syariat Islam ditinggalkan melainkan di sudut ibadah. 

5. Golongan sekular yang tertukar nawaitu.

Orang Islam yang mengerjakan ibadah, berjuang, berekonomi,berpendidikan, berdakwah, berpolitik, berhubung dan lain-lain lagi walaupun mengikut syariat tetapi bukan kerana Allah Taala. Semua itu dibuat kerana riyak, ujub, nama, glamour, pangkat, wang ringgit, sama ada disedari atau tidak. Oleh kerana itu pahalanya tidak sampai di Akhirat. Itulah golongan sekular disebabkan tertukar nawaitu atau diniatnya.

6. Golongan sekular disebabkan unsur sekular atau mementingkan dunia.

Golongan orang Islam yang segala usahanya ke arah Islam tetapi kerana terlalu membesarkan kehidupan dunia, mereka tidak sanggup mengeluarkan zakat lalu menjadi bakhil. Mereka tidak suka membuat kebaikan, tidak suka menolong orang, tidak suka bersedekah, suka mengumpul harta sahaja dan menjadi tamak. Itulah golongan sekular disebabkan unsur sekular atau mementingkan dunia.

   Begitulah erti fahaman sekular atau sekularisme mengikut pandangan Islam yang boleh saya ringkaskan. Pendek kata, fahaman sekular ini hanya mementingkan dunia semata-mata. Oleh yang demikian, pada akhir zaman ini kebanyakan penduduk di dunia lebih berfahaman sekular sama ada mereka berkeyakinan bahawa kehidupan ini hanya berakhir di dunia atau masih yakin akan kehidupan di Akhirat namun dari segi hati dan sikapnya, mereka lebih mementingkan dunia berbanding Akhirat. Jadi kita yang beragama Islam ini sama-samalah perbaiki diri, mengaudit diri, takut-takut kita tergolong antaranya dan belum terlambat untuk kita perbaiki diri dan bertaubat untuk menjadi yang lebih baik. InsyaAllah.

Terima kasih :)