Friday 24 June 2016

Keluar atau Kekal ? 5 Perkara Perlu Diketahui Tentang BREXIT.

Bismillahirrahmannirrahim

Alhamdulillah, kita masih diberikan kesihatan untuk meneruskan kehidupan ini dan berpuasa pada bulan Ramadhan yang penuh berkat. Untuk entry ini, saya akan kupas tentang kepentingan isu yang sedang menjadi bualan ramai iaitu BREXIT (BRITAIN EXIT). 

1. Apa itu Referendum UK?

Referendum UK adalah pungutan suara yang dicadangkan Perdana Menteri UK, David Cameron selepas pilihan raya pada 2015 bagi mengutip undi rakyat United Kingdom (UK) untuk menentukan sama ada UK kekal atau keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

Selain menentukan nasib UK dalam EU, ia juga bakal mencorak penglibatan UK dalam beberapa isu utama termasuk imigresen,kerjasama ekonomi dan konsep pergerakan bebas EU.

Pungutan suara serupa pernah dijalankan pada 1975 bagi menentukan keahlian UK dalam Komuniti Ekonomi Eropah (EEC), badan kerjasama awal dalam kalangan negara Eropah yang kemudian dibentuk menjadi EU pada 1993.

67 peratus rakyat Britain mengundi untuk Britain kekal dalam EEC pada 1975.

Referendum untuk menentukan keahlian Britain dalam EU diadakan pada 23 Jun 2016.

2. Siapa yang boleh mengundi ?

Semua rakyat UK layak mengundi, ini bermakna Britain, Scotland, Ireland dan Wales.
Selain itu, rakyat UK yang menetap di luar negara kurang 15 tahun turut diberi hak untuk mengundi. Hak mengundi turut diberi kepada semua warga Komanwel yang menetap di UK. Ini antara lain termasuk rakyat dari negara seperti Malaysia, Australia, Kanada dan India. Hanya mereka berumur 18 tahun ke atas diberi hak mengundi.

3. Apa sentimen rakyat Britain terhadap referendum ini?

Rata-rata rakyat Britain didapati masih berbelah bahagi, sama ada untuk mengundi kekal dalam EU atau sebaliknya.

Tinjauan terbaru oleh akhbar Britain, Financial Times mendapati peratusan rakyat Britain yang ingin kekal berbanding mereka yang ingin keluar EU masing-masing berada pada 44 peratus, sementara baki 12 peratus berada di atas pagar.

Bagaimanapun pakar berpendapat, insiden pembunuhan Jo Cox, wakil Parti Buruh dan penyokong kempen Britain kekal di EU pada 16 Jun 2016 didapati meningkatkan sentimen negatif terhadap kempen keluar EU.

Ini bagaimanapun masih belum dicerminkan di dalam apa-apa data rasmi yang masih menunjukkan taburan sama rata dalam kalangan rakyat Britain.

4. Siapa yang ada dalam kempen 'Remain' dan 'Leave' ?

Kempen 'Remain'
Diketuai Perdana Menteri David Cameron, antara isu yang dibawa kempen 'Remain' adalah ekonomi. Ia mengambarkan kesan buruk sekiranya hubungan antara blok dagangan UK dan EU terputus dan perlu dirunding semula.

Malah, kempen 'Remain' menyifatkan pemisahan akan menghapuskan kuasa UK terhadap dunia melalui EU yang selama ini memainkan peranan besar dalam dagangan dunia. Selain itu, dilemanya adalah bagaimana sistem pekerjaan rentas sempadan akan dirombak susulan pembatalan keahlian UK dalam EU.

Ini bakal menyaksikan pekerja EU di UK terpaksa memohon visa bagi kemasukan ke UK sekali gus menyukarkan majikan. EU membeli 50 peratus eksport UK dengan lebih 300,000 syarikat Britain beroperasi di EU. Jika ia keluar dari EU, ini bermakna UK perlu berunding semula terma dagangan bebas dengan negara lain kerana sebelum ini rundingan dilakukan atas kapasiti EU.

Dari segi pekerjaan juga, sejumlah 3.5juta pekerjaan di Britain berkaitan dengan keahlian Britain dalam pasaran tunggal EU.

Kempen 'Leave'
Diketuai bekas Datuk Bandar London, Boris Johnson, sentimen utama yang dimainkan adalah krisis pelarian dan imigresen. 

Kempen pemisahan menyifatkan EU satu kesatuan gagal dengan mengambil contoh Greece yang masih terperangkap dalam kancah hutang. Selain itu, pergerakan bebas penduduk EU ke UK dan menikmati manfaat sama seperti rakyat UK turut dipertikai.

Mereka mendakwa Britain yang terkenal dengan slogan 'Great Britain' kini hanya tinggal 'Britain'. Justeru mereka mahu kuasa menentukan hala tuju negara terutama dalam isu imigresen dan ekonomi ditentukan sendiri oleh Britain tanpa campur tangan EU.

Kempen ini mendakwa Britain terpaksa membayar yuran keahlian 17.4 bilion pound setahun, di mana mereka berpendapat lebih baik dilaburkan untuk kebajikan penduduk UK.

Isu imigresen yang ditimbulkan termasuk bagaimana kawalan imigresen EU ditentukan oleh EU menyaksikan pendudul rantau itu lebih mudah datang ke UK berbanding penduduk negara Komanwel.

5. Apa kesan kepada Malaysia ?

Kesannya adalah minimum terhadap dagangan Malaysia memandangkan UK bukan 10 negara teratas dagangan Malaysia. Namun beberapa kesan yang disifatkan baik akan dinikmati sekiranya UK keluar EU.

Antaranya, Ketua Ekonomi IQI Shan Saeed meramalkan nilai Pound akan jatuh sebaris nilai Dolar. Ini bermakna, kos ke UK lebih murah. 

Ketua Ekonomi Alliance Bank Monakaran Mottain berkata sekiranya Brexit berlaku, ringgit dan mata wang utama lain akan kembali mengukuh tetapi jika sebaliknya, ringgit mungkin menyusut dan boleh mencecah RM6 berbanding Pound.

Bukan itu sahaja, perbezaan nilai Pound ini amat kritikal kerana jumlah pelajar Malaysia yang besar di UK.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Isnin menyatakan tidak bimbang mengenai ketidaktentuan berkaitan pungutan suara Britain keluar EU.

Ini kerana pendedahan rendah dana itu kepada Pound Sterling meskipun merupakan antara pemegang kepentingan dalam projek Battersea di London.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, hanya 1 peratus dari 26 peratus asset global KWSP terdedah kepada Pound.

Kesimpulannya, bagi pandangan saya apa-apa pun keputusan BREXIT nanti diharapkan ianya dapat memberikan keputusan yang baik bagi kedua belah pihak dan tiada unsur keganasan yang akan berlaku.


Sumber maklumat : Astro Awani

Terima kasih :)