Monday 18 April 2016

Piagam Bertulis Pertama di Dunia

Bismillahhirahmannirrahim

Alhamdulillah kita masih dapat bernafas dan menjalani kehidupan seperti biasa. Untuk entry kali ini, saya akan menerangkan mengenai piagam bertulis pertama di dunia ini iaitu Piagam Madinah. 





   Piagam Madinah merupakan piagam bertulis yang pertama di Dunia. Pada masa ketibaan Rasullah s.a.w di Madinah terdapat dua golongan penduduk terbesar, iaitu orang Arab dan Yahudi. Orang Arab Islam, terdiri dari suku kaum Aus dan Khzaraj digelar sebagai Ansar (Golongan Penolong) dan orang Arab. Quraisy yang berhijrah dari Makkah pula digelar Muhajirin (Golongan Pendatang). Orang-orang Yahudi di Madinah pula terbahagi kepada beberapa kumpulan. Antaranya ialah bani Qainuqa, Quraizah dan Nazir.

   Orang-orang Ansar dari suku kaum Aus dan Khazraj sentiasa berselisih faham sesama mereka sejak zaman berzaman lagi. Orang Muhajirin pula terlalu miskin kerana mereka dihalau dari kampung halaman mereka. Orang-prang Yahudi sentiasa bersikap permusuhan dan sentiasa menghasut dan mengkhianati Rasulullah s.a.w dan pengikutnya. Orang-orang Munafik perlu menjadi musuh dalam selimut. Di samping itu pula orang-orang Musyrikin Quraisy di Makkah sentiasa membuat pelbagai usaha untuk menghancurkan agama Islam dan orang-orang Islam.

   Untuk mententeramkan keadaan gawat di Madinah, Rasullah s.a.w membuat perjanjian dengan seluruh penduduk di Madinah dan menulis satu piagam negara Islam pertama yang disebut sebagai Sahifah al-Madinah.


Piagam Madinah

   Piagam Madinah berbeza dari tulisan-tulisan peraturan pemerintah sebelum ini, kerana perlembagaan ditulis oleh pemimpin iaitu Nabi Muhamad s.a.w untuk diterima pakai oleh rakyatnya, iaitu penduduk Madinah. Piagam ini merupakan satu undang-undang tertinggi di Madinah, selain itu Al-Quran, yang telah menjadi tatacara pemerinthan di negara kota itu. Ia berlainan dengan The Constitution of Athens yang hanya merupakan sejarah evolusi amalan perlembagaan di negara itu. Piagam Madinah tidak seperti dokumen Shuking oleh Confucious yang merupakan buku teks untuk kanak-kanak raja. Ia juga bukan seperti dokumen Artha Sastera yang dianggap sebagai peraturan pemerintahan pada zaman Chandra Gupta Mauriya, yang hanya menjadi buku teks pembelajaran untuk anak-anak raja waktu itu.

Beberapa aspek utama piagam Madinah ialah:

  • Pengakuan terhadap Rasullah s.a.w sebagai Ketua Negara Madinah yang wajib dipatuhi dan dihormati. Apa-apa masalah besar antara penduduk Islam dengan penduduk bukan Islam mestilah dirujuk kepada ketua negara untuk diselesaikan. Walaubagaimanpun, semua ketua kaum mempunyai hak untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri secara yang difikirkan berpatutan.
  • Semua penduduk Madinah hendaklah hidup sebagi satu ummah yang tidak terpengaruh dengan apa-apa elemen yang tidak baik dari luar.
  • Semua penduduk hendaklah bersatupadu, bekerjasama, dan bertanggungjawab mempertahankan negara dari apa-apa serangan musuh.
  • Wahyu sebagai sumber piagam termasuk tradisi.
  • Semua penduduk diberi kebebasan mengamalkan agama masing-masing dan tiada gangguan dan paksaan dalam hal keagamaan.
  • Keselamatan semua penduduk adalah terjamin selama mereka mematuhi perlembagaan tersebut.


Kepentingan Piagam Madinah

  • Penerimaan Rasullah s.a.w sebagai Ketua Negara Madinah telah menaikkan kedudukan baginda sebagi pemimpin di dalam sebuah negara yang mana penduduknya terdiri dari pelbagai bangsa. Baginda mempunyai kuasa untuk memutuskan apa-apa dasar negara dan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dari masa ke semasa.
  • Pengekalan struktur kekeluargaan masyarakat Madinah yang tidak bertentangan dengan Islam di samping pengubahsuaian sebahagian darinya mengikut hukum-hukum Islam. Ketua-ketua kaum tetap mempunyai autoriti terhadap kaumnya dan Rasullah s.a.w adalah sebagai Ketua Hakim yang akan memutuskan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan di luar bidang kuasa ketua-ketua kaum berkenaan.
  • Orang-orang Islam diwajibkan hidup bermasyarakat sesama mereka secara aman dan mereka hendaklah membantu saudara seagama dan ditegah membantu dan berpihak kepada musuh-musuh Islam.
  • Piagam Madinah telah menyatukan dan mendamaikan antara suku-suku bangsa Arab di Madinah yang sentiasa bertelagah sebelum ini.
  • Memberi kebebasan menjalankan kegiatan ekonomi kepada semua penduduk. Peraturan ini dibuat untuk mengelak pemboikotan ekonomi oleh orang-orang Yahudi ke atas umat Islam seperti yang dilakukan oleh kaum Quraisy Makkah sebelum hijrah Rasullah s.a.w ke Madinah.
  • Kebebasan dalam kegiatan perniagaan dan keadaan yang aman di Madinah telah menarik minat pedagang-pedagang luar untuk datang ke Madinah. Akhirnya Madinah telah menjadi pusat perdagangan penting di Semenanjung Tanah Arab. Dengan itu, umat Islam secara beransur-ansur telah menguasai ekonomi Madinah dan di kawasan persekitarannya.
  • Semua penduduk Madinah bertanggungjawab memelihara keamanan dan keselamatan negara.
  • Dengan peruntukan piagam ini, orang-orang Yahudi tidak lagi boleh membuat sebarang pakatan dengan orang Quraisy Makkah dan mereka diwajibkan mempertahankan negara dari ancaman luar bersama-sam dengan orang Islam.
  • Memberikan kebebasan beragama dan tidak boleh menganggu penganut-penganut agama lain.
  • Dengan kebebasan beragama ini, orang-orang Islam bebas mengamalkan ajaran Islam. Ini memberi peluang kepada orang-orang bukan Islam bergaul dengan orang-orang Islam dan memerhatikan akhlak dan personaliti orang-orang Islam dan juga ibadat mereka yang penuh dengan displin. Ini semua telah menarik minat orang-orang bukan Islam memeluk agama Islam.
  • Melalui piagam ini, orang-orang Yahudi secara tidak langsung mengiktiraf kewujudan Islam sebagai satu agama, Madinah sebagai negara Islam dan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Pesuruh Allah yang sebenar. Sebelum ini, ketiga-tiga perkara ini ditolak oleh orang-orang Yahudi.
  • Hak dan keselamatan setiap penduduk Madinah adalah terjamin. Mana-mana pihak yang cuba mengkhianati piagam akan diambil tindakan tegas dan dihukum seberat-beratnya tanpa mengira bangsa atau agama. Hukuman telah dikenakan kepada pengkhianat piagam, seperti apa yang dikenakan kepada ke aats Bani Qainuqa' yang berkomplot dengan orang Arab Quraaisy Mekkah dalam Perang Badar. Mereka dihalau, begitu juga dengan Bani Nadir, mereka dihalau kerana berkerjasama dengan orang Arab Quraisy dalam Perang Uhud dan membunuh kaum lelaki Bani Quraizah yang mengisytiharkan perang dan bekerjasama dengan Quraisy Mekkah dalam Perang Khandak.


   Kesimpulannya, Piagam Madinah bersifat perkembangan sebenar berbanding dengan tatacara pemerintahan kerajaan purba Greek, China dan India. Piagam Madinah merupakan piagam bertulis pertama di dunia. Dengan tergubalnya Piagam Madinah, lahirnya sebuah negara Islam pertama di dunia di Madinah, yang menjadi induk kepada Empayar Islam selepasnya, yang memerintah dunia selama tujuh abad. Piagam Madinah boleh dijadikan asas kepada mana-mana piagam Islam yang baru, terutama sekali kepada sebuah negara Islam yang mempunyai penduduk berbilang bangsa.


Terima kasih :)

SUHAKAM

Bismillahirrahmannirrahim

Hai ! Alhamdulillah, kita semua masih dipanjangkan umur untuk sama-sama meneruskan kehidupan ini. Untuk entry kali ini, saya akan fokus kepada salah satu badan kerajaan yang menjaga kebajikan ataupun hak asasi manusia di Malaysia iaitu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia atau lebih dikenali sebagai SUHAKAM. Jadi, jom kita sama-sama memahami lebih mendalam peranan SUHAKAM :)




   SUHAKAM ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597 Seksyen 2. Akta ini mentakrif "hak asasi manusia" sebagai merujuk kepada "kebebasan asas sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan".

Fungsi SUHAKAM sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 4(1) adalah:

  1. Untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubung hak asasi manusia.
  2. Untuk menasihati dan membantu kerajaan dalam merumuskan perundangan dan arahan dan tatacara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil.
  3. Untuk mengesyorkan kepada Kerajaan berkenaan dengan penandatanganan atau penyertaan dalam perjanjian dan suratcara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia.
  4. Untuk menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia.
   Selain daripada itu, Seksyen 4(4) Akta berkenaan menegaskan bahawa hendaklah diberi perhatian berat kepada Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) selagi pengisytiharan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna, apa jua hak dan kebebasan yang tidak disebut dalam Bahagian II tetapi ada dirujuk dalam UDHR mesti dipertimbangkan dengan syarat tidak ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

   Fungsi menyiasat aduan berhubung dengan pelanggaran hak asasi manusia tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh Seksyen 12 Akta tersebut. Seksyen 12 memberi SUHAKAM kuasa memulakan sendiri penyiasatan terhadap tuduhan wujudnya pelanggaran hak asasi manusia, di samping bertindak berasaskan aduan yang dibuat kepadanya. Bagaimanapun, SUHAKAM tidak boleh menyiasat aduan yang menjadi perkara prosiding yang sedang menunggu keputusan mana-mana mahkamah undang-undang atau yang sudah diputuskan dengan muktamad oleh mahkamah. Penyiasatan mesti diberhentikan sekiranya perkara yang sedang disiasat dibawa ke mahkamah. 


Kuasa

   Akta penubuhan telah memberi SUHAKAM kuasa yang membolehkannya menjalankan fungsinya dengan efektif. Di bawah Seksyen 4(2) dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597, SUHAKAM diberikan kuasa:

  1. Untuk memupuk kesedaran mengenai hak asasi manusia dan untuk mengaku janji mengadakan penyelidikan dengan mengendalikan program, seminar dan bengkel dan untuk menyebarkan dan menyedarkan hasil penyelidikan itu.
  2. Untuk menasihati Kerajaan dan/atau pihak berkuasa yang berkaitan mengenai aduan terhadap pihak berkuasa dan mengesyorkan kepada Kerajaan dan/atau pihak berkuasa itu langkah-langkah sesuai yang hendaklah diambil.
  3. Untuk mengkaji dan menentu sahkan apa-apa pelanggaran hak asasi manusia mengikut peruntukan Akta ini.
  4. Untuk melawat tempat tahanan mengikut tatacara yang ditetapkan oleh undang-undang yang berhubungan dengan tempat tahanan itu dan untuk membuat syor yang perlu.
  5. Untuk mengeluarkan pernyataan awam mengenai hak asasi manusia apabila perlu.
  6. Untuk mengaku janji apa-apa aktiviti sesuai lain yang perlu mengikut undang-undang bertulis yang berkuatkuasa, jika ada, berhubung dengan aktiviti itu.

Jadi, bagaimana? Harap entry mengenai SUHAKAM ini membantu menambahkan ilmu pengetahuan kita terhadap badan kerajaan yang melindungi hak asasi manusia di Malaysia. Untuk lebih mengetahui lebih lanjut mengenai SUHAKAM, bolehlah layari laman sesawang SUHAKAM.


Terima kasih :)