Monday 18 April 2016

SUHAKAM

Bismillahirrahmannirrahim

Hai ! Alhamdulillah, kita semua masih dipanjangkan umur untuk sama-sama meneruskan kehidupan ini. Untuk entry kali ini, saya akan fokus kepada salah satu badan kerajaan yang menjaga kebajikan ataupun hak asasi manusia di Malaysia iaitu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia atau lebih dikenali sebagai SUHAKAM. Jadi, jom kita sama-sama memahami lebih mendalam peranan SUHAKAM :)




   SUHAKAM ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597 Seksyen 2. Akta ini mentakrif "hak asasi manusia" sebagai merujuk kepada "kebebasan asas sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan".

Fungsi SUHAKAM sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 4(1) adalah:

  1. Untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubung hak asasi manusia.
  2. Untuk menasihati dan membantu kerajaan dalam merumuskan perundangan dan arahan dan tatacara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil.
  3. Untuk mengesyorkan kepada Kerajaan berkenaan dengan penandatanganan atau penyertaan dalam perjanjian dan suratcara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia.
  4. Untuk menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia.
   Selain daripada itu, Seksyen 4(4) Akta berkenaan menegaskan bahawa hendaklah diberi perhatian berat kepada Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) selagi pengisytiharan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna, apa jua hak dan kebebasan yang tidak disebut dalam Bahagian II tetapi ada dirujuk dalam UDHR mesti dipertimbangkan dengan syarat tidak ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

   Fungsi menyiasat aduan berhubung dengan pelanggaran hak asasi manusia tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh Seksyen 12 Akta tersebut. Seksyen 12 memberi SUHAKAM kuasa memulakan sendiri penyiasatan terhadap tuduhan wujudnya pelanggaran hak asasi manusia, di samping bertindak berasaskan aduan yang dibuat kepadanya. Bagaimanapun, SUHAKAM tidak boleh menyiasat aduan yang menjadi perkara prosiding yang sedang menunggu keputusan mana-mana mahkamah undang-undang atau yang sudah diputuskan dengan muktamad oleh mahkamah. Penyiasatan mesti diberhentikan sekiranya perkara yang sedang disiasat dibawa ke mahkamah. 


Kuasa

   Akta penubuhan telah memberi SUHAKAM kuasa yang membolehkannya menjalankan fungsinya dengan efektif. Di bawah Seksyen 4(2) dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597, SUHAKAM diberikan kuasa:

  1. Untuk memupuk kesedaran mengenai hak asasi manusia dan untuk mengaku janji mengadakan penyelidikan dengan mengendalikan program, seminar dan bengkel dan untuk menyebarkan dan menyedarkan hasil penyelidikan itu.
  2. Untuk menasihati Kerajaan dan/atau pihak berkuasa yang berkaitan mengenai aduan terhadap pihak berkuasa dan mengesyorkan kepada Kerajaan dan/atau pihak berkuasa itu langkah-langkah sesuai yang hendaklah diambil.
  3. Untuk mengkaji dan menentu sahkan apa-apa pelanggaran hak asasi manusia mengikut peruntukan Akta ini.
  4. Untuk melawat tempat tahanan mengikut tatacara yang ditetapkan oleh undang-undang yang berhubungan dengan tempat tahanan itu dan untuk membuat syor yang perlu.
  5. Untuk mengeluarkan pernyataan awam mengenai hak asasi manusia apabila perlu.
  6. Untuk mengaku janji apa-apa aktiviti sesuai lain yang perlu mengikut undang-undang bertulis yang berkuatkuasa, jika ada, berhubung dengan aktiviti itu.

Jadi, bagaimana? Harap entry mengenai SUHAKAM ini membantu menambahkan ilmu pengetahuan kita terhadap badan kerajaan yang melindungi hak asasi manusia di Malaysia. Untuk lebih mengetahui lebih lanjut mengenai SUHAKAM, bolehlah layari laman sesawang SUHAKAM.


Terima kasih :)


1 comment: