Tuesday 28 June 2016

Erti Sebenar Hak Kebebasan Bersuara

Bismillahirrahmannirrahim

“Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya” – pepatah Melayu
Peribahasa yang masyhur di atas jelas menunjukkan kepada kita peri pentingnya penggunaan akal untuk berfikir sebelum melontarkan apa yang tersirat di dalam hati. Hal ini demikian kerana segala percakapan yang sudah terlepas tidak boleh ditarik balik – “People forgive but they will never forget”. 
Dewasa kini, ramai yang menuntut kebebasan bersuara. Tidak ketinggalan golongan anak muda, mahasiswa khususnya. Mereka mahu pandangan mereka didengar, diambil kira, dan dihargai. Kebebasan bersuara sudah termaktub dalam Perkara 19 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang merupakan satu pengisytiharan makluman yg diamalkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 10 Disember 1948 bertempat di Palais de Chaillot, Paris.
Hak bersuara juga diiktiraf dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-hak Sivil dan Politikal (ICCPR). Antara dokumen penting lain yang mengiktiraf hak bersuara ialah Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia (Perkara 10), Konvensyen Amerika mengenai Hak Asasi Manusia (Perkara 13) dan Piagam Afrika mengenai Hak Asasi Manusia dan Rakyat (Perkara 9).
Persoalan yang ingin ditimbulkan amatlah mudah. Setelah begitu banyak dokumen penting dari negara maju dan secara global mengiktiraf hak ini, apakah alasan untuk sesetengah negara menolak salah satu intipati penting hak asasi manusia ini? Adakah salah untuk tidak mengamalkan kebebasan ini? Ataupun deklarasi ini sekadar ‘jari telunjuk’ negara-negara maju yang punyai pelbagai agenda tersembunyi?
Isu yang ditimbulkan sangatlah rumit. Hatta perdebatan berkaitan ini berterusan sehingga berabad lamanya. Sedangkan terma ‘demokrasi’ juga mungkin berlainan dan bercanggah bagi beberapa negara. Malaysia contohnya, mungkin memberi alasan tidak mahu menggunakan demokrasi ala Barat. Jepun pula gah dengan sistem demokrasi acuannya sendiri. Negara China dikatakan semakin menuju ke arah demokrasi dan bertegas mengakuinya sedangkan umum menyanggah fakta tersebut.
Akhirnya, setiap definisi demokrasi berlainan untuk setiap ahli. Frasa ‘demokrasi cara anda’ diterbitkan seolah-olah demokrasi ini begitu banyak jenisnya dan bercanggah begitu teruk sekali. Begitulah isunya dengan kebebasan bersuara dan hak asasi manusia. Mujurlah, tidak ada negara rasional yang menolak bulat-bulat hak bersuara rakyatnya, namun hampir semuanya mengakui tidak boleh ada kebebasan mutlak.

Kebebasan bersuara dan batasnya
Justeru, wujudlah pengehadan kebebasan bersuara ekoran daripada percanggahan hak. Apakah percanggahan hak? Sistem perundangan negara selalunya mengehadkan kebebasan bersuara apabila berlakunya konflik dengan hak atau nilai yang lain. Di Malaysia contohnya, kebebasan bersuara termaktub dalam  Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan: Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan. Walaupun secara jelas dan nyata disebut tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bersuara dan bercakap, namun semuanya tertakluk kepada fasal-fasal yang lain.
Contohnya, kenyataan yang berunsur perkauman dan hasutan yang boleh mengganggu-gugat keamanan negara tidak dibenarkan sama sekali. Dalam isu ini, hak bersuara berkonflik dengan hak untuk hidup dalam kedamaian. Malaysia tidak keseorangan dalam hal ini. United Kingdom juga mengenakan had yang lebih kurang sama bahkan kebebasan bersuara dan menyuarakan pendapat merupakan hak negatif rakyat di bawah “common law”.
Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir merupakan antara tokoh yang lantang mempertahan pengehadan kebebasan bersuara. Menurut beliau, kebebasan bersuara perlu dihadkan supaya hak ini tidak digunakan oleh sesetengah masyarakat untuk mengapi-apikan masyarakat lain [Syarahan Perdana Budaya 2011, 10 November 2011]. Rumusannya, dalam pada sesetengah masyarakat ingin mempertahan hak mereka bersuara, mereka seharusnya tidak mengganggu hak keamanan dan kedamaian yang dituntut pihak yang lain.
Walaubagaimanapun, wujud bidasan yang mempertikaikan kewibawaan autoriti untuk menilai kesesuaian batasan tersebut. Mereka mendakwa bahawa autoriti mungkin sengaja membataskan kebebasan bersuara untuk kepentingan sendiri. Secara logiknya, perdebatan ini mungkin benar, tiada sesiapa pun berhak menyekat maklumat dan kebebasan bersuara sebelum mesejnya sampai kepada pendengar.     Biarlah apa pun diluahkan kerana entiti yang berhak menilai kebenaran mesej tersebut hanyalah pendengar.
Tetapi benarkah kita harus biarkan masyarakat yang menilai dan menjustifikasi sesuatu isu? Mungkinkah autoriti berpendapat masyarakat masih belum cukup matang untuk menilai sesuatu maklumat? Jika begitu sampai bilakah kematangan tersebut boleh dicapai? Ataupun sebenarnya tragedi lampau mewujudkan paranoia dalam kalangan autoriti? Persoalan ini eloklah ditinggalkan untuk cernaan bersama.
Hak  dan kebebasan berfikir
Lirik lagu ‘Aku Maafkan Kamu’ nyanyian Malique dan Jamal Abdillah sangat ‘makan dalam’. Ayat yang paling menarik ialah ‘Gunakan hak berfikir sebelum hak bersuara’. Signifikannya ayat ini memang ternyata jika kita menganalisis senario politik tanah air. Sebelum mengulas lanjut, terdapat pelbagai persoalan yang perlu dijawab oleh pejuang kebebasan bersuara sebelum mereka bersuara.
Pertamanya, mengapa perlu kita mengikut Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat sedangkan pengisytiharan ini cumalah sekadar satu deklarasi? Menurut Dato Yunus Raiss, bekas Magistret Mahkamah West London semasa Projek Amanat Negara 2012 di London, sedangkan negara barat dan maju juga hanya mengambil sebahagian saja daripada deklarasi tersebut dan membuang sebahagian yang lain untuk kepentingan sendiri.
Lebih-lebih lagi, mengapa perlu kita merujuk kepada deklarasi tersebut sedangkan negara-negara Islam sudah mempunyai Deklarasi Kaherah?
Apapun jawapan yang bermain di minda, golongan intelektual seharusnya berani dan jujur menggunakan hak berfikir sebelum mengguna pakai hak bersuara.
Berbalik kepada hak berfikir, mungkin ramai yang masih hijau tentangnya. Jadi eloklah diberikan sedikit pencerahan. Hak berfikir merupakan hak setiap individu untuk menggunakan akal fikiran yang waras untuk membuat pertimbangan dan kajian sebelum mengambil keputusan. Keputusan tersebut boleh terjadi dalam bentuk luahan dan tindakan. Tidak seperti hak bersuara, hak berfikir tidak mempunyai batas dan percanggahan, dan tidak akan berkonflik dengan hak yang lain.
Adalah mustahil sama sekali jika pertentangan pemikiran berlaku melainkan diluah dan diambil tindakan. Hak berfikir mengambil kira pendirian seseorang termasuk berkaitan agama dan kepercayaan. Kebebasan berfikir mungkin hampir sama dengan ‘freedom of expression’ dan ‘freedom of speech’ tetapi sedikit berbeza dan amat penting untuk tidak disalah ertikan. Kebebasan berfikir diberikan penakrifan yang lebih mendalam dan spesifik dalam Artikel 9 ‘European Convention of Human Rights’. Begitu juga dalam Perkara 18 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat – “Everyone has the right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to change his religion or belief, and freedom, either alone or in community with others and in public or private, to manifest his religion or belief in teaching, practice, worship and observance.”
Walaubagaimanapun, hak berfikir yang ingin dibincangkan lebih menjurus kepada definisi awal, bukannya ‘freedom of thought’ yang sudah terkandung dalam ‘Universal Declaration of Human Rights’.  Pemahaman umum mengenai hak dan kebebasan berfikir ialah keupayaan rasional dalam menggunakan hak berfikir terlebih dahulu sebelum meluahkan hak bersuara. Perbincangan ini menjurus kepada ketelitian dalam membezakan hak berfikir dan hak bersuara. J.B Bury dalam bukunya ‘A History of Freedom of Thought’ menegaskan sebenarnya ‘freedom of thought’ dan ‘freedom of speech’ saling berkait rapat tetapi berbeza.
Hal ini menjadi persoalan kerana majoriti masyarakat berpendapat bahawa setiap pandangan mestilah diluah dan dikongsi bersama tanpa sebarang halangan. Benar, perbuatan ini tidak menjadi kesalahan tetapi sebenarnya sudah cukup menggambarkan tahap pemikiran seseorang jikalau pandangan tersebut diluahkan tanpa kaji selidik yang mendalam, akhirnya akan dilabel pemfitnah. Adakah gelaran ini menjadi kegilaan ramai? Sudah tentulah tidak.
Maka kesimpulannya ringkas, tatkala pejuang murni dan suci di luar sana melaung dan menegakkan frasa kebebasan dan hak bersuara, adakah kita dan mereka sudah cukup memahami dan mendalami hak dan kebebasan berfikir? Bolehkah sesuatu hak itu mendahului hak yang lain? Jikalau ya, hak yang manakah perlu diutamakan?
Kesemua persoalan di atas eloklah dirungkai bersama secara ikhlas dan saksama, menggunakan akal yang rasional bukan menilai dengan emosi. Informasi dan maklumat yang diterima perlulah dihadam, bukannya ditelan bulat-bulat sebelum diluahkan sebagai pandangan. Moga-moga rasional pemikiran kita mencapai ke tahap yang lebih tinggi.
Terima kasih :)

No comments:

Post a Comment