Wednesday 29 June 2016

65 Juta Pelarian Di Seluruh Dunia

Bismillahirrahmannirrahim

Sumber : Kosmo

GENEVA – Angka pelarian dan orang yang terpaksa melarikan diri dari rumah di seluruh dunia memecah satu rekod baharu apabila jumlah itu meningkat kepada 65.3 juta pada hujung tahun lalu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Jumlah yang mengatasi krisis kemanusiaan semasa Perang Dunia Kedua itu didahului oleh rakyat Palestin, Syria dan Afghanistan.
Di peringkat global, sekurang-kurangnya satu peratus daripada manusia terpaksa melarikan diri daripada krisis.
“Ini merupakan kali pertama bahawa jumlah keseluruhan telah melepasi sebanyak 60 juta pelarian,” kata agensi pelarian PBB.
Angka berkenaan dikeluarkan sempena Hari Pelarian Dunia yang dikatakan merupakan satu jumlah krisis pelarian yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Ketika konflik dan penindasan yang berlaku menyebabkan semakin ramai terpaksa melarikan diri selain sentimen politik antiimigran semakin tegang bagi menempatkan golongan pelarian.
“Keadaan ini bukan sahaja melibatkan kesediaan beberapa negara untuk bekerjasama dalam isu pelarian tetapi kepentingan manusia secara kolektif turut diuji pada hari ini,” kata Ketua Suruhanjaya PBB Bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi.
Angka pelarian telah mening­kat sejak pertengahan tahun 1990, namun kadar itu semakin melonjak sejak tercetusnya perang saudara di Syria pada tahun 2011.
Menurut statistik PBB, daripada 65.3 juta pelarian, kira-kira 40.8 juta masih berada di dalam negara mereka, manakala 21.3 juta pula telah melarikan diri dengan merentasi beberapa sempadan.
Bagaimanapun, penduduk Palestin merupakan kumpulan pelarian terbesar dengan lebih lima juta orang termasuk yang melarikan diri sejak penubuhan Israel pada 14 Mei 1948.
Syria pula mencatatkan sebanyak 4.9 juta pelarian diikuti dengan Afghanistan (2.7 juta pelarian) dan Somalia (1.1 juta).
Sementara itu, UNCHR berkata, terdapat tanda-tanda membimbangkan di Amerika Tengah apabila jumlah peningkatan orang melarikan diri daripada kumpulan-kumpulan yang melakukan keganasan semakin meningkat kepada 17 peratus.
– AFP

Bagi pandangan saya, isu ini amat membimbangkan. Seharusnya seluruh dunia memandang isu ini dengan lebih serius dan menyelesaikannya dengan baik dan bertolak-ansur. Peperangan hanya menyebabkan kematian insan yang tidak berdosa untuk kepentingan pihak lain. Kekejaman yang berlaku tidak akan mendatangkan sebarang manfaat tetapi lebih memupuk kebencian dalam masyarakat. Semoga pergolakkan yang berlaku di seluruh dunia dapat dihapuskan dan masyarakat seluruh dunia hidup dalam aman dan damai.
Terima kasih :)

No comments:

Post a Comment