Wednesday 29 June 2016

Hak Rakyat Bersuara Di Media Sosial Akan Disekat ?

Bismillahhirrahmannirrahim

Berikut adalah sumber daripada Bernama;

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Penyalahgunaan media sosial yang semakin berleluasa kebelakangan ini, jika tidak dibendung akan menjadi ancaman kepada perpaduan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata walaupun kebebasan bersuara dijamin dalam Perlembagaan negara, media sosial tidak sepatutnya disalahgunakan sehingga memecahbelahkan keharmonian yang sedia terjalin.

"Saya harap media sosial digunakan dengan cara yang baik, kalau mahu buat kritikan, buat kritikan yang munasabah jangan diputar belitkan. Kadang-kadang kita lihat kenyataan pemimpin kita pun diputar belitkan.

"Gunakan media sosial untuk mendapat maklumat atau memuatkan pendapat yang boleh membina negara, jangan jadikan punca pergaduhan antara satu sama lain, ia tentu sekali akan memecahbelahkan perpaduan," katanya.

Beliau bercakap kepada Bernama selepas menjadi tetamu Program Dalam Radar di Bernama Radio24 di sini, dengan tajuk "Nilai Perpaduan Dalam Kalangan Masyarakat".

Kurup berkata kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengkaji untuk memperkemaskan undang-undang menerusi pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bagi menangani penyebaran fitnah dalam media sosial.

"Kita bukan mahu sekat kebebasan tetapi ia akan dijadikan garis panduan untuk penggunaan media sosial supaya ia digunakan secara berhemah dan tidak disalahgunakan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kurup berkata tanggungjawab menjaga keamanan negara adalah kolaborasi yang seharusnya dikongsi antara kerajaan dan juga rakyat.

"Ia perlukan kerjasama antara semua pihak yang ada di negara kita, saya harap semua pihak dapat menghayati betapa pentingnya perpaduan. Apabila tidak ada perpaduan, tidak akan ada keamanan, dan tanpa keamanan tentu sekali negara tidak akan berjaya," katanya.


Bagi pandangan saya, kerajaan mungkin boleh meletakkan garis panduan yang bersesuaian namun diharapkan garis panduan tersebut bukanlah untuk kepentingan parti dan mempunyai keserataan dalam memberikan kebebasan masyarakat memberikan pandangan mereka.

Terima kasih :)

No comments:

Post a Comment