Wednesday 29 June 2016

IKLAN RAYA DARIPADA KISAH BENAR.

Bismillahirrahmannirrahim

Hari ini 25Ramadhan 1437H bermakna kita bakal menyambut bulan Syawal 5 hari lagi. Jika kita perhatikan di laman sosial Facebook terdapat banyak video iklan raya yang dikongsi. Saya tertarik dengan iklan raya pasaraya terkemuka di Malaysia, iaitu Mydin. Di sini saya sertakan klip video berkenaan dan huraian mengenai kisah disebalik video berkenaan. 


Kisah di sebalik video raya ini ;
"TAK sangka perjalanan balik kampung pada 1 Syawal tahun 2013, menjadi titik hitam dalam diri Makcik!" Puan Maryam, 57 tahun dengan tenang menceritakan kepada Penerbit Sinar.TV, Rosli Ahmad,  detik kemalangan yang meragut nyawa suami dan anak bongsunya sewaktu perjalanan pulang ke kampung suaminya yang terletak di Arau, Perlis.
“Sepatutnya kami sekeluarga balik sehari sebelum raya tetapi setelah mendapat laporan daripada TV  yang jalan sesak sangat ke utara maka kami tunda untuk balik pada hari raya pertama selepas sembahyang raya.  Along pula (anak sulung beliau) yang bekerja di sebuah stesen tv swasta terpaksa bekerja pada raya pertama.
Ikut perancangan dia akan  terus bertolak dari pejabat apabila kerjanya selesai."
Menurut Puan Maryam lagi, Along memang begitu sibuk dengan kerjaya barunya itu setelah sekian lama menganggur.
"Seperti Syawal pada tahun-tahun sebelumnya, biasanya memang makcik  yang uruskan persiapan untuk raya , suami dan Ajib akan mengikut sahaja dan menemankan makcik mencari barang-barang raya.  Cuma kali itu macam-macam pula keinginan mereka , suami pesan supaya beli banyak daging ayam untuk dimasak rendang kesukaannya dan  Ajib pula minta beli dua pasang baju raya, satu warna putih dan satu lagi warna hijau, alasannya hendak beraya sakan."
Puan Maryam menceritakan bagaimana dia mengikut sahaja  kehendak suami dan anak bongsu yang seorang itu tanpa banyak soal.
"Perjalanan balik ke kampung pada raya pertama memang menyenangkan, maklumlah orang semua sudah sampai ke kampung masing-masing.
"Kami berehat sebentar di R&R Sungai Perak dan semasa hendak memulakan semula perjalanan Ajib minta saya duduk di belakang.
"Dia suruh saya tidur kerana perjalanan masih jauh lagi. Rasa pelik terdetik di hati kerana selama ini Ajib ke mana sahaja memang akan duduk di kerusi belakang, tak sangka masa itu dia mahu duduk di kerusi depan," katanya.
Sewaktu melepasi Ipoh, makcik pun tidur dan tiba-tiba terdengar suami menjerit , "Allahu Akbar!" Seingat makcik, sebuah lori yang datang dari kiri terus menghimpit kereta kami sehingga ke kanan dan terkena penghadang jalan.

Kemudian kereta kami berpusing ke laluan bertentangan. Makcik terpelanting ke bahu jalan dan terus tak sedarkan diri. Sebaik saja buka mata, makcik sudah di hospital. Along ada di tepi makcik masa itu. Dia peluk makcik dan terus menangis.
Dunia gelap semula bila Along memberi tahu yang suami dan anak bongsu makcik telah meninggal dunia kerana kemalangan itu." Dalam sekelip mata Puan Maryam telah kehilangan suami dan anak bongsunya.
Drama raya Mydin #selaludihati  yang viral baru-baru ini adalah kisah benar Puan Maryam.
Drama ini diproduksikan Sinar Studios dan  MYDIN MOHAMED HOLDINGS BHD.

Berdasarkan video ini, diharapkan kepada semua yang ingin pulang ke kampung halaman atau kepada sesiapa yang memandu untuk apa-apa tujuan sekalipun, diharapkan sentiasa berhati-hati dan sentiasalah ingat orang yang tersayang. Tidak menganggap kalau kita pandu perlahan, janji selamat.

Terima kasih :)

No comments:

Post a Comment